in

Pasar terapung tarikan baharu Sungai Melaka

Ab Rauf (tengah) merasmikan bangunan baharu PPSPM di Pengkalan Rama, Melaka

Oleh Yusuf Shafie

MELAKA, 21 Mei – Sebuah kawasan pasar terapung akan diwujudkan di Sungai Melaka sebagai tarikan terbaharu produk pelancongan negeri ini tahun depan sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Murad Husin, ia akan beroperasi di Sungai Melaka berhampiran Taman Lagenda yang menawarkan pelbagai produk keluaran negeri.

Menurutnya, idea pasar terapung itu mengambil contoh dari negara luar seperti Indonesia, Thailand dan bandar raya Bangkok yang menjadi tarikan utama dan sumber ekonomi kepada masyarakat tempatan.

“Cumanya di Melaka, konsep kita berbeza apabila mengutamakan penjualan pelbagai produk kering dikeluarkan peniaga kecil di negeri ini termasuklah makanan masyarakat Melayu, Portugis, Chetti dan Baba Nyonya di atas bot.

“Ini akan memberi peluang bukan sahaja pelancong dari darat untuk datang ke sini, bahkan pelancong yang menaiki bot pelancongan Melaka, Melaka River Cruise (MRC) juga boleh berhenti untuk berurusan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan Baharu PPSPM di Pengkalan Rama yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, di sini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari.

Mengulas lanjut Murad berkata, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat yang akan membangunkan pasar terapung berkenaan yang akan dibina secara statik untuk memudahkan pelancong.

“Sebenarnya, banyak perkara teknikal perlu dilihat termasuklah menyediakan bot berbumbung kepada peniaga dan orang ramai untuk menjami selera dan sebagainya di sini.

“Kita yakin, apabila pasar terapung ini dijangka beroperasi tahun depan ia mampu menjadi antara penyumbang utama kepada sasaran 18.7 juta pelancong melawat negeri ini sempena TMM2024 tahun hadapan,” katanya. – nasionalkini.my

Ramai perokok tidak endah larangan

20 selebriti antara peserta Royale Fiesta Kelantan Tour