in

Hilang RM30,000 akibat letak atas but kereta

Gambar hiasan

JERTIH, 14 Julai – Seorang lelaki mendakwa kehilangan kira-kira RM30,000 apabila wang tunai berjumlah lebih RM60,000 diletakkan atas but keretanya, terjatuh dan bertaburan di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, dekat Kampung Lak Lok, di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Ibu lelaki itu, Che Safiah Abdullah, 63, berkata anaknya, Wan Ibrahim Wan Leh, 24, terlupa dia meletakkan beg kain berisi wang tunai di atas but kereta jenis Honda Civic, sebelum bergerak dari rumah ke sebuah bank untuk menyimpan wang berkenaan.

“Selepas kejadian itu, Wan Ibrahim mengalami kemurungan dan hanya berkurung di dalam bilik memandangkan wang itu dikumpulnya sejak empat tahun lalu hasil pendapatan sebagai tukang gunting di bandar Jertih.

“Lebih menyedihkan Wan Ibrahim, wang itu untuk dia beli kereta sendiri sebab kereta yang digunakan sekarang milik kakaknya dan dia mahu jelaskan hutang dan upah haji arwah bapa kandung dan bapa tirinya,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Lak Lok, di sini hari ini.

Che Safiah berkata, anaknya meletakkan beg berisi wang terbabit di atas but kereta kerana terlebih dahulu mahu membersihkan bahagian dalam kereta, namun dia terlupa wang berada di situ dan terus memandu ke arah bandar.

Wan Ibrahim menyedari wang terbabit terjatuh sebaik sampai di bandar Jertih kira-kira 10 minit kemudian, sebelum berpatah balik ke tempat kejadian berhampiran persimpangan U di Kampung Lak Lok.

“Setiba di situ beberapa orang awam membantu memungut wang yang berterabur di atas jalan raya dan menyerahkan balik wang tersebut kepada anak saya berjumlah sekitar RM30,000, namun ada individu yang tidak bertanggungjawab dipercayai telah mengambil wang tersebut.

“Anak saya kemudian pergi membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan lanjut dan kami berharap agar mana-mana individu yang mengambil baki wang itu agar memulangkan kembali kepada keluarga saya,” katanya.- nasionalkini.my

WhatsApp Image 2023 07 14 at 8.15.59 PM

Mufti Melaka cadang pelancongan dakwah dalam TMM2024

india

Rakyat Malaysia terkandas di India dijangka tiba malam ini