in

Dokumentari Jho Low ditayang di AS

Low Taek Jho atau Jho Low gagal dikesan sejak tahun 2016

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Dokumentari ‘Man on the Run’ membongkar kehidupan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low akan ditayangkan di pawagam Amerika Syarikat (AS) pada September depan.

Diarahkan oleh pengarah Cassius Micheal Kim yang pernah menghasilkan program ABC News Nightline, sebelum mencipta nama menerusi siri CNN ‘The Wonder List With Bill Weir’, dokumentari menceritakan kisah pengubahan wang haram terbesar di dunia membabitkan berbilion ringgit dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu akan ditayangkan di New York pada 22 September, kemudiannya menyusul tayangan di Los Angeles pada 29 September depan.

Memetik laporan The Hollywood Reporter, dokumentari terbitan The Smoking Section dengan kerjasama Evergreen Media itu akan memaparkan temubual eksklusif bersama ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Charles W O’Neal dan David Smith yang memainkan peranan penting dalam penyiasatan kes skandal 1MDB.

Ia juga termasuk wawancara terakhir bersama bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak sebelum dihantar ke penjara selepas disabit kesalahan berkaitan skandal 1MDB.

Najib yang kini menjalani hukuman penjara selama 12 tahun, ditanya soalan penting mengenai bekas rakan dan penasihatnya. “Di manakah Jho Low?”

Tidak hanya itu, temu bual bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut akan disertakan.

Jho Low dipercayai dalang utama penyelewengan dana 1MDB – Gambar hiasan

Menerusi treler rasmi yang dipaparkan oleh The Hollywood Reporter, ia memaparkan gaya hidup eksklusif Jho Low yang didakwa sebagai perancang utama skandal 1MDB dan bagaimana kekayaan luar biasanya digunakan untuk mendekati selebriti terkenal dunia seperti Leonardo DiCaprio, Paris Hilton dan Jamie Foxx.

Ramai percaya Jho Low yang dianggap sebagai ‘penjenayah kolar putih’ paling dikehendaki di dunia kini berada di China, dilaporkan dalam tahanan rumah di Shanghai.

Jho Low didakwa di Malaysia dan Amerika Syarikat atas tuduhan mendalangi penyelewengan AS$4.5 bilion (RM20.7 bilion) dana 1MDB.

Sebelum ini, China menafikan melindungi Jho Low yang boleh dikatakan penjenayah kolar putih paling dikehendaki di dunia.

Gaya hidup mewah, miliki rangkaian rakan yang terkenal lagi berkuasa, hadiah dan hartanah mewah, kapal layar mega serta jet peribadi menjadikannya wajah global yang disifatkan oleh Jabatan Kehakiman AS sebagai kes kleptokrasi terbesar yang pernah disiasat.

Namun, lelaki yang didakwa mendalangi kecurian melalui kes 1MDB itu hilang pada 2016 apabila pihak berkuasa dari Singapura, Australia dan AS menyiasat kes penipuan besar-besaran itu.- nasionalkini.my

Penjawat awam Melaka dapat RM300

Premis kelapa sawit dipercayai punca pencemaran sisa kimia