in

Bunuh kerana tegur saiz payudara: Dua lelaki didakwa

Kedua-dua tertuduh, A Deebanahsok, 27, dan Patrick Chu Chee Guan, 36, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pengurus syarikat awal bulan ini

Oleh Yusuf Shafie

MELAKA, 22 Mei – Seorang pengawal peribadi dan ejen judi dalam talian dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pengurus syarikat awal bulan ini.

Kedua-dua tertuduh, A Deebanahsok, 27, dan Patrick Chu Chee Guan, 36, bagaimanapun hanya menunduk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama didapati melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang lelaki, M Sandrasekeran, 33.

Kesalahan yang memperuntukan hukuman mati itu dilakukan di Jalan 3/25 Taman Kenanga antara pukul 3.30 pagi hingga 4.30 pagi, 9 Mei lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Timbalan Pendakwa Raya J Banusha pada prosiding itu tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana pertuduhan mengikut Seksyen 302 manakala kedua tertuduh diwakili peguam Mathan Anandaram.

Majistret Mazana kemudian menetapkan 30 Jun ini sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik.

Nasionalkini pada 10 Mei lalu melaporkan
tindakan seorang pengurus sebuah syarikat bercakap mengenai saiz payudara dengan rakannya didakwa menjadi punca mangsa ditikam sehingga mati di sebuah gerai makan di Taman Kenanga, Tengkera, di sini awal pagi 9 Mei lalu.

Sebelum kejadian, si mati bersama rakan-rakannya datang ke gerai berkenaan dalam keadaan mabuk untuk makan selepas selesai berhibur.

Selepas selesai makan, si mati ada bercakap kepada rakan-rakannya mengenai saiz payudara seorang pelanggan wanita berusia 26 tahun sebelum perbualan itu didengari oleh pengawal peribadi wanita itu dan menegur si mati.

Situasi kemudian menjadi tegang sehingga berlaku pergaduhan antara si mati, pengawal peribadi berusia 27 tahun dan teman lelaki kepada wanita terbabit berusia 36 tahun.

Susulan itu polis menahan sembilan suspek berusia antara 25 sehingga 38 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – nasionalkini.my

Dasar Kerajaan Perpaduan lonjak ekonomi negara jadi tumpuan Dewan Rakyat

Bangunan KWSP terbakar lagi