in

Suspek cekik adik dakwa mangsa buli

20230506 114734
Gambar hiasan

Oleh Yusuf Shafie

MELAKA, 6 Julai – Bapa kepada remaja lelaki yang disyaki mencekik adiknya hingga mati semalam mendakwa anaknya pernah menjadi mangsa buli senior di sekolah.

Najli Yakob, 42, berkata, dia tidak menyangka anak sulung berusia 14 tahun yang berperwatakan baik dan tidak mempunyai rekod disiplin itu bertindak demikian.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari semalam, mangsa berusia sembilan tahun meninggal dengan kesan kecederaan di leher, muka dan hidung dipercayai akibat perbuatan abang kandungnya itu.

“Memang sebelum ini, pada tahun pertama memasuki tingkatan satu sekolah Arab berasrama, anak pernah cerita selalu menjadi mangsa buli pelajar senior termasuk dicekik, disepak dan tumbuk.

“Silapnya, saya beranggapan ia tidak seteruk itu sehinggalah anak seolah-olah mengalami trauma apabila pulang ke rumah beberapa bulan lalu menyebabkan saya membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya malam tadi.

Najli Yakob

Semalam, Nasionalkini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun maut dipercayai dicekik oleh abang kandungnya di rumah keluarga mereka di Kampung Bukit Piatu.

Kejadian disedari ibu mereka menerusi sistem kamera litar tertutup (CCTV) pada telefon bimbitnya sebelum menghubungi jiran untuk membantu.

Mengulas lanjut, Najli yang bekerja sebagai tukang urut berkata, sebelum ini dia dan isteri turut pernah dicekik anak sulungnya itu namun mereka berjaya melepaskan diri dengan bantuan anak keduanya berusia 12 tahun.

“Sejak itulah, kami ada membawanya berubat cara Islam kerana sambil mencekik, dia akan menjerit Subhanallah berkali-kali, alhamdulilah selepas berubat dia menunjukkan tanda-tanda pulih bulan lalu.

“Tapi, ustaz yang mengubatinya ada memaklumkan anak saya itu mengalami trauma yang lama akibat menjadi mangsa buli di sekolah,”katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod masalah disiplin di sekolah.

“Remaja itu ditahan dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Ayer Keroh pagi ini bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

Kanak-kanak hilang jatuh sungai

Court Soccer terima tajaan Jakel