in

Bayi maut tersedak susu

Lokasi kejadian seorang bayi perempuan berusia 11 bulan yang meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu

Oleh Yusuf Shafie

MELAKA, 25 Julai – Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan maut dipercayai akibat tersedak susu ketika dijaga pengasuhnya di Rumah Awam Ayer Molek, Duyung di sini pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, ibu mangsa yang hanya mahu dikenali dengan nama Zaidah, 35, mendapat insiden menimpa anak sulungnya itu dari pengasuhnya.

“Sekitar jam 11 pagi saya mendapat panggilan telefon dari pengasuh memaklumkan wajah anak kebiru-biruan dan tidak sedarkan diri, mungkin kerana tersedak susu.

“Saya terus memintanya segera membawa anak ke klinik berhampiran kerana saya bertugas di Sungai Udang dan mungkin lambat untuk bergegas membawanya ke klinik,” katanya ketika ditemui media di rumah keluarganya di Kampung Titian Bintangor, Linggi di sini malam tadi.

Jelasnya, sebaik tiba di klinik kesihatan berkenaan, anaknya itu tiada di situ kerana telah dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

“Doktor kemudian mengesahkan anak sulung saya itu sudah meninggal dunia, namun punca kematian masih belum diketahui sehingga mendapat laporan penuh hasil bedah siasat,” katanya menahan sebak.

Sementara itu, bapa mangsa yang enggan dikenali tidak dapat mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan polis, namun reda dengan ketentuan Ilahi tanpa menyalahkan mana-mana pihak.

Jenazah bayi syurga itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Titian Bintangor, Linggi kira-kira jam 10.30 malam tadi dihadiri ahli keluarga terdekat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan mati mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat.- nasionalkini.my

10 ahli geng Topeng kena berkas

bhspr03 1688356558

SPR maklum kerusi parlimen Pulai kosong