in

Lelaki maut dua kereta bertembung

Keadaan kereta dinaiki mangsa yang remuk akibat kemalangan di Kilometer 57, Jalan Kota Tinggi-Kluang, awal pagi tadi - Gambar oleh Bomba Johor

KLUANG, 30 Jun – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 57, Jalan Kota Tinggi-Kluang, dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pada jam 3 pagi itu melibatkan kenderaan Nissan Almera dan Mitsubishi Xpander.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian, Nissan Almera dari arah Kota Tinggi manakala Mitsubishi Xpander dari arah Kluang.

“Semasa tiba di tempat kejadian, Nissan Almera dipercayai tiba-tiba hilang kawalan sehingga masuk ke laluan Mitsubishi Xpander.

“Akibat jarak terlalu dekat Mitsubishi Xpander cuba mengelak ke kanan jalan tetapi terus bertembung dengan Nissan Almera,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, pemandu Nissan Almera dikenali sebagai Mohd Solehin, 30-an, beralamat di Kulai cedera parah dan meninggal dunia semasa mendapat rawatan di wad kecemasan Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) di sini pada jam 4.44 pagi.

Katanya, pemandu Mitsubishi Xpander, Abdul Muiz, 20-an, beralamat di Mersing cedera parah di badan dan kini berada di Zon Merah HEBHK.

Menurutnya, semasa kejadian cuaca baik tetapi keadaan jalan gelap dan kemalangan itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan terbabit remuk di bahagian hadapan.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

Aspartame punca kanser

20230511 101730

Pembantu kedai didakwa bunuh kekasih