in

Ramai perokok tidak endah larangan

Gambar hiasan

SEREMBAN, 21 Mei – Masih ramai dalam kalangan perokok tidak mengendahkan larangan merokok terutama di premis makanan, hospital dan hentian pengangkutan awam, kata Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr Harlina Abdul Rashid.

Beliau berkata, ini berikutan sebanyak 96 notis kesalahan dikeluarkan dalam tempoh lapan jam operasi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Op PPKHT) yang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) di sekitar negeri ini pada Sabtu.

“Ia termasuk di kawasan hospital atau klinik, premis makanan dan pusat beli-belah selain kesalahan terhadap pemilik yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis. Kita tengok tadi di tempat makan, rakyat ada kesedaran tetapi diharap dengan penguatkuasaan ini mereka akan lebih peka.

“Sebenarnya tabiat merokok ini berkait dengan tingkah laku, justeru Kementerian Kesihatan (KKM) akan sentiasa mempromosi dan melaksanakan penguatkuasaan secara berkala untuk membendung perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan malam kelmarin, lapor Bernama.

Beliau turut menegaskan bahawa larangan merokok bukan bertujuan menghukum golongan perokok, sebaliknya bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat merokok kepada mereka serta perokok pasif iaitu individu yang berada di sekeliling.

Dr Harlina berkata, aktiviti mempromosi dan peringatan kepada masyarakat mengenai keburukan tabiat merokok adalah tanggungjawab semua pihak selain pelanggan dan pemilik premis makanan perlu memainkan peranan masing-masing.

Selain itu, beliau berkata perokok dan pengguna rokok elektronik atau vape turut diseru untuk berhenti merokok mengikut kaedah rawatan yang diiktiraf KKM memandangkan ia juga boleh membahayakan diri dan orang sekeliling. – nasionalkini.my

20230506 070816

WHO lancar rangkaian global bantu kesan ancaman penyakit berjangkit

Pasar terapung tarikan baharu Sungai Melaka