in

Fadhlina Sidek wajar ‘ambil cuti’ atau letak jawatan

Fadhlina Sidek

CAMERON HIGHLANDS, 31 Mac – AJK Badan Perhubungan Perikatan Nasional Pahang, Dr Abdul Rasid Md Ali berpandangan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek patut mengambil ‘cuti’ susulan kontroversi ucapannya yang viral di media sosial.

Walaupun ahli parlimen Nibong Tebal itu dilaporkan sudah meminta maaf dan membuat laporan polis berhubung perkara itu, namun Abdul Rasid berkata, hanya dengan ‘bercuti’ seketika dapat memberi peluang kepada siasatan dijalankan dengan lebih telus.

“Perkara ini sudah viral sejak beberapa hari dan kita melihat ia sedikit sebanyak menjejaskan tumpuan Menteri Pendidikan dalam menjalankan tugasnya.

“Jadi, saya fikir elok dia ‘bercuti’ sebentar.. bagi memudahkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Saya tak pasti apa sebenarnya yang berlaku, cuma rakaman video yang tular itu agak sensitif dan menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan rakyat,” katanya.

Dr Abdul Rasid Md Ali

Semalam, Fadhlina dilaporkan sudah membuat laporan polis dan bakal mengambil tindakan undang-undang susulan penyebaran hantaran berbaur fitnah terhadapnya di laman sosial.

Ia merujuk kepada satu video tular memaparkan Fadhlina yang didakwa menolak penggunaan label kafir ketika berucap dalam satu majlis.

Fadhlina berkata, dia telah menerima kata-kata berbaur kebencian, tuduhan tidak benar malah ancaman keselamatan di alam maya.

Polis juga telah mengesahkan menerima satu laporan berhubung isu fitnah mengaitkan Fadhlina yang tular di aplikasi WhatApps dan laman Facebook.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata ketika dihubungi Bernama, hari ini, berkata, laporan dibuat pada jam 4.21 petang semalam di Balai Polis Sungai Maong, dekat Kuching, oleh Setiausaha Politik Menteri Pendidikan itu, Atiqah Syairah Shaharudin.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rasid yang juga Ketua BERSATU Cameron Highlands berkata, semua pihak perlu memberi peluang kepada polis menjalankan siasatan dengan telus.

“Kalau dia (Fadhlina) cakap video itu disunting, biar polis siasat sama ada dakwaan itu benar atau sebaliknya.

“Pada pendapat saya, lebih elok dia ambil peluang untuk ‘berehat’ terlebih dahulu,” katanya.– nasionalkini.my

Ahmad Najmi dilantik pengurus skuad hoki lelaki

Masjid terawal azan Maghrib, penduduk perlu ganti puasa