in

Jaga sensitiviti, tolak sikap terlalu naif

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Polemik berkaitan tindakan syarikat menjual minuman keras memberi sumbangan kepada sekolah tidak wajar dijadikan isu politik.

Namun, ia perlu dilihat dari sudut pemahaman dalam agama supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi PN Cameron Highlands, Dr Abdul Rasid Md Ali berkata, penggunaan minuman keras adalah secara jelas dilarang oleh agama Islam dan turut tidak digalakkan oleh agama lain.

Dr Abdul Rasid Md Ali

“Jadi, kalau semua pihak faham perkara ini, insiden membawa masuk syarikat minuman keras ke sekolah tidak berlaku.

“Ini kerana pendedahan awal kepada pelajar sekolah dengan jenama minuman keras dibimbangi akan mempengaruhi mereka.

“Apatah lagi jika sekolah itu mempunyai pelajar daripada pelbagai agama dan berbilang bangsa,” katanya.

Dr Abdul Rasid yang juga Timbalan Presiden Persatuan Rangkaian Muslim Inovasi Malaysia (MINM) menjelaskan minuman keras memberi kesan buruk kepada kesihatan.

“Arak atau minuman beralkohol memang membawa mudarat seperti kerosakan hati, gangguan mental dan pelbagai penyakit kronik lain,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan dibuat pemimpin GERAKAN susulan isu tajaan syarikat minuman keras di sekolah, Dr Abdul Rasid yang juga Ketua BERSATU Cameron Highlands berkata, setiap parti perlu melihat isu ini dalam kerangka lebih besar.

“Jangan hanya lihat kepada sumbangan kepada sekolah, tapi kesan tersembunyi kepada pelajar.

“Ahli politik juga kena peka dalam hal ini, kalau majlis itu ada sekali dengan syarikat arak, mereka (ahli politik) yang beragama Islam perlu elak daripada hadir,” ujarnya.

Gambar ihsan Bernama

Dalam pada itu, beliau berharap kempen mengenai bahaya mengambil minuman keras perlu disokong semua pihak.

Ini termasuklah pemimpin utama negara seperti Sultan dan Raja Melayu, Perdana Menteri dan Menteri Kabinet selain wakil rakyat.

“Kalau boleh, kerajaan perlu bertegas dengan tidak membenarkan penjualan arak secara terbuka,” katanya. – nasionalkini.my

Belum sampai masa cari pengganti Yoke Moey

Mengenal kesan dan bahaya arak kepada manusia