in

Nasib Melayu di hujung tanduk

Gambar ihsan Bernama

LIPIS, 19 Jun – Perpecahan dalam kalangan orang Melayu perlu diberi perhatian segera oleh pemimpin utama semua parti politik bertunjangkan sokongan orang Melayu.

Ini kerana kewujudan hampir 10 parti – yang masing-masing mendakwa memperjuangkan nasib orang Melayu – tidak membantu memperkukuhkan kuasa Bumiputera di negara ini.

Ketua BERSATU Cameron Highlands, Dr Abdul Rasid Md Ali berkata, perseteruan antara parti Melayu ini perlu dinoktahkan segera.

Dr Abdul Rasid Md Ali

“Sekarang kalau tak silap saya, sudah ada hampir 10 parti orang Melayu… setiap parti ada kumpulan penyokong sendiri.

“Jadi, secara tidak langsung kekuatan orang Melayu makin hilang, makin lemah.

“Kalau nak kuatkan semula, kembalikan kuasa orang Melayu sebagai pemerintah Malaysia secara total, semua parti ini kena cari jalan untuk bekerjasama,” katanya.

Berdasarkan rekod, sebanyak 10 parti berasaskan sokongan orang Melayu terdapat di negara ini seperti UMNO, PAS, BERSATU, PKR, Pejuang, Berjasa, Muda, Putra, Amanah dan Parti Bangsa Malaysia.

Dia berpandangan, dalam situasi perpecahan orang Melayu ketika ini, bangsa lain sedang merancang untuk melakukan kejutan apabila berlaku pilihan raya umum selepas ini.

Katanya, orang Melayu terutamanya pemimpin atau ketua parti terbabit sepatutnya sedar mengenai risiko yang bakal dihadapi.

“Tidak bolehlah kita kekal rasa selesa dengan perkembangan ini… patutnya kita kena rasa risau dan bimbang.

“Sebab kuasa politik yang ada ketika ini hanyalah sisa saja… bila-bila boleh hilang jika orang Melayu terus berpecah.

“Sedangkan parti seperti DAP sebagai contoh, mereka makin mendominasi kuasa melalui jumlah ahli parlimen dan ADUN,” katanya lagi. – nasionalkini.my

Kerusi DUN Nenggiri kosong

Isu BlackRock uji kredibiliti Anwar