in

Salahuddin Ayub meninggal dunia

1690121536330387 0
Salehuddin Ayub

ALOR SETAR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, malam ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai, Johor selama dua penggal, meninggal dunia pada jam 9.23 malam, ketika masih dalam Unit Rawatan Rapi HSB.

Kematian beliau diumumkan oleh anaknya, Fatihah Salahuddin menerusi perkongsian di Facebook.

“Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami, Salahuddin Ayub, telah menghadap Ilahi pada pada 9.23 malam, 23 Julai 2023,” katanya memetik laporan Berita Harian malam ini.

Salahuddin yang juga Timbalan Presiden AMANAH, dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HSB, pada jam 10.15 malam Jumaat lalu, untuk rawatan kecemasan selepas mengalami mual dan muntah-muntah.

Pemeriksaan doktor pakar kemudiannya mengesahkan Salahuddin mengalami pendarahan otak.

Beliau kemudiannya menjalani pembedahan pada pagi Sabtu, sebelum ditidurkan di bawah pengawasan rapi pakar pembedahan dan perubatan HSB.

Selain ahli keluarga terdekat, antara kenamaan turut menziarahi Salahuddin di HSB malam ini ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang juga Presiden AMANAH dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohamad Sanusi Md Nor, turut menziarahi jenazah Allahyarham di HSB malam ini, sejurus menerima perkhabaran mengenai pemergian Salahuddin.

Terdahulu, Dr Zaliha berkata, pembedahan yang dilalui oleh Salahuddin semalam berjaya tetapi beliau masih berada di bawah pemantauan pakar dalam ICU.

Salahuddin meninggalkan seorang balu iaitu Datin Seri Fatimah Taha bersama enam anak.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Salahuddin, Syakirin Husnal, dalam kenyataannya, berkata jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk dihantar pulang ke rumah ibunya di Kampung Serkat (Kopi Tenggek) dekat Tanjung Piai.

“Pejabat Menteri KPDN akan memberikan maklumat lanjut mengenai proses pengurusan jenazah dalam masa terdekat.

“Pihak keluarga Allahyarham ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak atas doa dan ingatan yang diberikan terhadap Allahyarham selama ini.

“Keluarga Allahyarham juga ingin berterima kasih kepada semua doktor dan petugas Hospital Sultanah Bahiyah,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut berkongsi kesedihan susulan pemergian Salahuddin yang disifatkannya sebagai seorang sahabat yang setia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang turut berdukacita sebaik menerima khabat kematian Salahuddin, menyifatkan beliau sebagai seorang rakan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang sangat dihormatinya, selain berperwatakan rendah diri, sentiasa komited dan berdedikasi di dalam melaksanakan tanggungjawab beliau.

Screenshot 2023 07 23 214956

Pahang peruntukan RM8,865,900 untuk BPP Kluster Siswa

Minat serupa satukan tiga pemuda