in

Gelek ghairah: Mufti Melaka kecewa, penganjur perlu ada garis panduan

WhatsApp Image 2023 05 30 at 4.29.47 PM
Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil

Oleh Yusuf Shafie

MELAKA, 30 Mei – Mana-mana penganjur yang ingin mengadakan program terbuka di negeri ini perlu mewujudkan satu garis panduan dan wajib dipatuhi peserta bagi memastikan ia tidak tercemar dengan insiden tidak diingini.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, kerajaan negeri amat kesal dan terkilan dengan insiden yang mencemarkan agama Islam dan dilakukan penganutnya sendiri di negeri ini, Sabtu lalu.

“Kami terkilan dengan kejadian yang viral itu kerana keadaan itu tidak menggambarkan etika dan akhlak dan memahami konsep seni dan budaya dalam kehidupan masyarakat Melayu Islam itu sendiri.

“Di pihak kerajaan negeri, saya berharap pihak penganjur supaya dapat berhati-hati dan memastikan mempunyai satu garis panduan jelas yang perlu dipatuhi setiap peserta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Konvensyen Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Terdahulu, tular di media sosial klip video berdurasi satu minit 57 saat menunjukkan seorang pempengaruh bersama dua individu lain menyampaikan lagu dengan aksi gelek berunsur lucah.

Aksi ghairah itu dikatakan berlaku ketika festival Starvendors Foodstival Melaka 2023 yang berlangsung selama tiga hari di MITC Ayer Keroh, sejak Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, semua acara sama ada berbentuk mempromosikan Melaka sebagai negeri pelancongan budaya dan sebagainya tidak seharusnya terkeluar daripada landasan Islam.

“Setiap peserta, hatta artis (pun) sebagaimana kita menjaga nilai sebagai seorang Muslim dengan akhlak dan perlakuan yang (sepatutnya) menjadi contoh kepada masyarakat,” katanya. – nasionalkini.my

348848726 773790400945150 1650345462237600749 n

Kerajaan Negeri sumbang RM50,000 untuk adik Athif

polis hiasan

Pencari madu lebah maut jatuh pokok tualang