in

Kumpul tempayan antik guna media sosial

Mohd Aman Daiman Ismail bersama sebahagian daripada koleksi tempayan antik miliknya

Oleh Aimy Maisarah

KOTA BHARU, 14 Julai – Hobinya sebagai pengumpul tempayan antik membawa Mohd Aman Daiman Ismail, 36, mengembara ke beberapa negeri untuk mencari barangan klasik itu.

Setakat ini, Mohd Aman menyimpan lebih 300 tempayan antik berusia lebih 100 tahun dari beberapa negara di dunia yang dibeli dari pemiliknya.

Lebih menarik, bekas pelajar Kampus Antarabangsa Labuan, Universiti Malaysia Sabah itu juga memiliki beberapa koleksi tempayan budu berusia lebih 100 tahun.

“Tempayan antik memang mendapat sambutan daripada generasi moden untuk dijadikan dekorasi di dalam dan luar rumah,” katanya.

Seunit tempayan antik boleh mencecah harga antara RM5,000 hingga RM8,000

Mohd Aman berkata, dia mempunyai wakil di Kelantan dan Terengganu yang akan memaklumkan kepadanya mengenai tempayan yang mahu dijual pemilik.

“Tempayan yang menjadi rebutan ialah tempayan naga dan harganya boleh mencecah antara RM5,000 hingga RM8,000 seunit,” katanya.

Selain tempayan, pemilik syarikat Treasure Garden itu turut memiliki almari, payung, kapak dan pasu antik yang kebanyakannya dari Indonesia dan China.

Mohd Aman menggunakan media sosial untuk mendapatkan barangan antik dan bertemu individu memiliki hobi sama.

“Ada yang kata peminat barang antik akan berdepan perkara mistik dan penunggu tetapi Alhamdulillah, perkara itu tidak pernah saya lalui,” katanya.- nasionalkini.my

Remaja sasaran ajaran Si Hulk

Suspek simbah asid menangis dibawa ke mahkamah