in

Wajib fasih Bahasa Melayu untuk layak dapat warganegara

Gambar hiasan

KUANTAN, 9 Jun – Sudah sampai masanya kerajaan lebih tegas dalam hal membabitkan pemberian status kewarganegaraan kepada pemohon.

Antara syarat perlu dipenuhi pemohon adalah fasih dan boleh menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Timbalan Presiden Persatuan Rangkaian Muslim Inovasi Malaysia, Dr Abdul Rasid Md Ali berkata, hanya dengan memenuhi syarat itu saja barulah permohonan boleh dipertimbangkan.

“Selain syarat yang sedia ada dan ditetapkan Jabatan Pendaftaran Negara dan Kementerian Dalam Negeri, pemohon juga perlu menguasai bahasa Melayu dengan baik.

“Ini sebagai tanda bahawa mereka benar-benar ikhlas ingin menjadi rakyat Malaysia, bukannya disebabkan faktor lain.

“Kalau kerajaan boleh bertegas dalam hal ini, saya percaya negara kita hanya akan memiliki warganegara yang berkualiti dan mempunyai semangat patriotik yang tinggi,” katanya.

Dr Abdul Rasid bersama Tun Dr Mahathir

Dia berkata demikian ketika mengulas taklimat kewarganegaraan dianjurkan sebuah parti politik yang posternya tular di media sosial sebelum ini.

Bagaimanapun, program itu sudah ditunda selepas mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.

Dalam pada itu, Dr Abdul Rasid mencadangkan supaya kerajaan melakukan semakan berkala berkaitan jumlah warga asing yang memasuki negara ini secara sah.

Ini kerana katanya, ada antara warga asing itu sudah terlalu lama menetap di Malaysia dan boleh dikira sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Jumlahnya mungkin sudah terlalu ramai… susah kalau dibiarkan tanpa pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa.

“Kita tidak mahu mereka terlalu ‘bebas’ hingga menimbulkan masalah sosial yang lain,” katanya. – nasionalkini.my

DAP perlu lebih cermat dalam hal kewarganegaraan

Ibadah haji bukan medan politik