in

Misbun terima permohonan maaf Norza

Datuk Misbun Sidek

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Datuk Misbun Sidek menerima permohonan maaf dibuat Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohammad Norza Zakaria berhubung kemelut melanda susulan penamatan kontraknya oleh badan induk itu selaku pengarah pembangunan remaja negara, minggu lalu.

Pengurus peribadi Misbun, Nor Kamal Ahmad, berkata jurulatih berusia 63 tahun itu mengakui lega selepas mendengar permohonan maaf secara terbuka dibuat Norza dalam satu sidang media, semalam sambil mengakui beliau sememangnya mempunyai hubungan istimewa dengan individu nombor satu BAM itu.

“Apabila Tan Sri Norza sendiri yang membuat permohonan maaf, Misbun mengakui beliau berasa lega.

“Misbun menerima permohonan maaf itu dan anggap perkara ini selesai, beliau tidak mahu memanjangkan isu ini lagi,” kata Kamal ketika dihubungi BH hari ini.

“Buat masa ini, Misbun belum bersedia untuk bertemu dengan pihak media dan beliau meminta saya untuk membuat kenyataan kepada media berhubung perkara ini.

“Apa yang saya sampaikan, inilah yang diluahkan sendiri oleh Misbun,” katanya lagi.

Misbun dalam satu sidang media Isnin lalu meluahkan rasa terkilan dengan tindakan Norza yang didakwa seolah-olah lepas tangan berhubung isu yang timbul itu selepas jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam memutuskan untuk menamatkan kontraknya lebih awal.- nasionalkini.my

TEKUN dapat dana tambahan RM200 juta

Penjawat awam Melaka dapat RM300